Sunday, July 29, 2012

"Menjaga kebajikan orang miskin" - Ucapan YB Wong sempena majlis penyerahan kunci rumah sewa Padang Tembak


 


TEKS UCAPAN YB WONG HON WAI
(EXCO PERANCANG BANDAR DAN DESA, PERUMAHAN, KESENIAN)

SEMPENA MAJLIS PENYERAHAN KUNCI RUMAH SEWA PADANG TEMBAK PADA 29 Julai 2012

Selamat pagi dan salam sejahtera,

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati dan diraikan sekalian.


Pada pagi yang indah ini, saya berasa amat gembira dan berbesar hati kerana berpeluang untuk bertemu tuan-tuan dan puan-puan semua. Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan di dalam menjaga kebajikan para penduduk di negeri ini.

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, Rumah Pangsa Pandang Tembak ini telah disiapkan pada tahun 1969. Rumah Pangsa Padang Tembak ini mempunyai 9 blok rumah pangsa iaitu Blok A, B, F,G,H & J mempunyai 16 tingkat tidak termasuk tingkat bawah (Ground floor) dengan kata lain 18 lantai termasuk bumbung dan Blok C, D, & E mempunyai 17 tingkat, termasuk tingkat bawah (Ground floor) dengan kata lain 19 lantai termasuk bumbung. Unit-unit rumah tersebut dijual pada harga RM5,773.00 untuk rumah satu bilik manakala RM9,287.00 untuk rumah dua bilik. Penjualan rumah tersebut dibuat secara sewa beli dengan tempoh selama 25 tahun. Hakmilik strata untuk Rumah Pangsa Padang Tembak ini telah dikeluarkan antara tahun 1995/1996.

Blok E dan Blok J yang pada asalnya merupakan quarters bagi askar. Pada awal 2000an, quarters tersebut telah dikosongkan dan tidak dihuni sebanyak melebihi 10 tahun. Kerajaan Negeri mengambil initiatif untuk memperbaiki unit-unit yang kosong ini untuk disewakan kepada golongan yang kurang berada. Sejak tahun 2008 sehingga 2011, 93 unit telah diperbaiki atas usahasama Kerajaan Negeri dan pihak swasta.

Pada tahun 2012, sebanyak 77 telah diperbaiki. Pada bulan April lalu, kita telah melangsungkan majlis untuk penyerahan kunci fasa pertama. Hari ini, kita mengadakan majlis ringkas untuk fasa yang kedua.

Prioriti sewaan kepada golongan yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah terutamanya golongan miskin, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas. Tujuan dasar ini dibuat adalah untuk membolehkan golongan-golongan ini mendapatkan tempat kediaman yang murah dan selesa untuk didiami bagi menjalani kehidupan seharian. Kadar sewaan yang telah ditetapkan adalah pada kadar RM90 bagi unit satu bilik dan RM110 bagi unit dua bilik.

Kerajaan Negeri sentiasa peka terhadap keperluan golongan yang kurang berkemampuan ini, justeru pelbagai usaha dan inisiatif telah digerakkan untuk membaikpulih unit-unit rumah sewa yang masih kosong untuk disewakan. Penglibatan syarikat swasta di dalam menjalankan tanggungjawab sosial mereka untuk membaikpulih unit-unit yang masih kosong juga memberikan pandangan bahawa sektor korporat juga sentiasa mengembeling tenaga bersama-sama pihak kerajaan untuk membantu golongan-golongan ini. Justeru, untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, fasa terakhir pembaikan unit-unit Rumah Pangsa Padang Tembak ini telah diselesaikan dengan siapnya pembaikan ke atas 170 unit rumah sewa di Blok E dan J.

Kerajaan Negeri juga memberikan perhatian yang menyeluruh kepada semua penduduk/pemilik/penyewa Rumah Pangsa Padang Tembak. Antara tindakan yang telah dilaksanakan di Rumah Pangsa Padang tembak ini adalah dengan menaiktaraf saluran paip-paip najis dan air bersih di setiap unit di setiap blok Rumah Pangsa Padang Tembak. Pengecatan juga dibuat di blok F dan J di Rumah Pangsa Padang Tembak. 5 blok 5 tingkat di Padang Tembak juga turut dicatkan dan ini telah menyerikan keadaan sekeliling. Begitu juga 3 buah lif di Blok E ditukar pada tahun 2010 dan 3 buah lift lagi akan ditukar di Blok B tahun ini.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah Pakatan Rakyat telah menaik-taraf projek-projek perumahan awam yang diuruskan oleh Kerajaan Negeri. Sejak tahun 2009, bajet untuk pengurusan rumah pangsa awam telah dinaikkan ke RM10 juta setiap tahun.

Semasa pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional, bajet berkenaan hanya RM1 juta dan memang hanya untuk projek-projek kecil sahaja.

Kerajaan Pakatan Rakyat memandang berat terhadap kebajikan bagi penduduk-penduduk yang menghuni di rumah pangsa awam dan dengan ini telah memperuntukkan sejumlah 10 kali ganda berbanding pentadbiran lama.

Antara projek-projek berkenaan ialah penukaran lif, pengecatan, penukaran paip air, penukaran paip kumbahan, penukaran wayar baru dan projek-projek lain.

Antara projek-projek perumahan awam yang mendapat manfaat ialah Rumah Pangsa Padang Tembak, Rumah Pangsa Kampung Melayu, Rumah Pangsa Tun Sardon, Rumah Pangsa Desa Wawasan, Ampang Jajar, Jalan Macallum dan Desa Jawi dan Taman Free School.


Kerajaan Negeri menguruskan 45 projek dengan 15,000 unit rumah awam di seluruh Pulau Pinang. Melalui peruntukan RM10 juta setiap tahun, ia akan memberikan manfaat kepada penghuni-penghuni di rumah pangsa awam tersebut.

Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan untuk membina lebih banyak rumah sewa melalui PPR dalam Rancangan Malaysia ke-8, ke-9 dan ke-10 tetapi tidak mendapat kelulusan kewangan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Pada 4-3-2012, YAB Lim Guan Eng telah melawat ke projek mampu milik Halaman Kenanga yang dibangunkan oleh PDC iaitu 510 LMC dan 206 unit LC. Ketua Menteri pada majlis tersebut telah menyerahkan kunci kepada pemilik-pemilik baru.

Untuk rumah kos rendah, saya telah membuat lawatan ke tapak low cost flat yang dibangunkan oleh Ideal Property Development Sdn Bhd di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 19 April 2012. Projek pembangunan adalah melibatkan 534 unit rumah low cost dengan harga RM42,000. Selepas hari pelancaran tersebut, dianggarkan 4000 orang melawat ke tapak tersebut dan terdapat 1141 pemohon yang membuat permohonan terhadap projek ini. Bahagian Perumahan telah membuat tapisan serta pemilihan dan pemohon-pemohon yang berjaya dihubungi melalui surat dan urusan balloting akan dibuat pada 30-7-2012 hingga 2-8-2012 di premis syarikat tersebut.

Pada 28-4-2012, saya telah mengumumkan bahawa integrasi data telah disempurnakan antara sistem perumahan, MPPP, MPSP dan Pejabat Tanah. Dengan integrasi data ini, kita boleh membuat tapisan yang lebih ketat terhadap pemohon-pemohon supaya mereka yang memiliki rumah dapat dikesan dan tawaran tidak akan dibuat. Ini merupakan satu usaha yang baik untuk menambahbaikan sistem perkomputeran permohonan rumah kos rendah.

Pada 28-4-2012, saya juga turut mengumumkan butiran penjualan terhadap projek terbengkalai yang dihidupkan semula iaitu Bukit Erskine di mana terdapat 554 unit LMC. Mengikut rekod penjualan pemaju, 75% pembeli adalah mereka yang berumur kurang daripada 40 tahun. Oleh itu, orang-orang muda berpeluang memiliki rumah yang mampu milik.

Pada 13-5-2012, saya telah melawat ke Teluk Air Tawar untuk memulakan piling work untuk satu projek terbengkalai selama 14 tahun. Ini berita baik untuk 37 keluarga yang duduk di rumah kontena. Apabila kerja-kerja siap dalam masa tiga tahun, 298 unit rumah low costs akan dapat disiapkan di Teluk Air Tawar.

Pada 21-5-2012, saya telah melawat ke projek Suria Vista di Paya Terubong untuk menyerahkan kunci kepada 123 unit LMC berharga RM67,500 kepada pemilik-pemilik baru. Antaranya ialah 15 setinggan di kawasan Air Itam yang mendapat pampasan rumah. Pembeli-pembeli berasa gembira kerana berpindah ke rumah baru selepas satu tahun lebih menandatangani S & P. Setinggan-setinggan juga berasa gembira kerana mendapat pampasan munasabah.

Pada 1 Julai 2012, Kerajaan Negeri telah melaksanakan dasar baru terhadap pembelian rumah yang membabitkan warga negara asing. Kerajaan Negeri telah menetapkan warga negara asing hanya boleh membeli rumah dengan harga minimum sejuta untuk semua kategori rumah dan 2 juta untuk hartanah landed di Pulau Pinang. Usaha ini ialah untuk memastikan kepentingan warga tempatan dijaga dan warga asing hanya dibenarkan untuk membeli rumah melebihi harga minimum dan tidak bersaing dengan warga tempatan dalam pembelian rumah. Transaksi hartanah yang melibatkanwarga asing ialah lebih kurang 3%.

Kerajaan Negeri turut mengumukan pembinaan 12,000 unit rumah mampu milik di Batu Kawan, 6000 unit di DTL, DBD, SPU dan SPT. Lokasi berkenaan ialah di Jalan SP Chelliah, Teluk Kumbar, Ampang Jajar, Bukit Mertajam dan Batu Kawan. Angka ini ditambahkan kepada unit yang dirancang oleh sektor swasta sebanyak 20,000 unit. Maka jumlah tawaran masa depan ialah 38,000 unit.

Angka ini hendaklah dibaca bersama dengan pemohon-pemohon aktif rumah kos rendah dan sederhana rendah sebanyak 26,000 orang. Oleh itu, pada masa depan, kita mempunyai perancangan yang jitu yang dapat memenuhi keperluan penduduk-penduduk Pulau Pinang.

Saya mengambil kesempatan ini mengalu-alukan anda untuk menghuni di Padang Tembak. Adalah menjadi tanggungjawab saya dan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat untuk memastikan kawasan ini selesa dihuni.

Sekian, terima kasih.


No comments: